PROGRAM KASIH FUNDCARE ANJURAN BERSAMA FSPPP, BPJIMA UiTM SABAH & PERSATUAN ALUMNI UiTM SABAH
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Bahagian Pengurusan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (BPJIMA) UiTM Cawangan Sabah serta Persatuan Alumni UiTM Sabah atas kejayaan menganjurkan Program Kasih FundCare pada 27 Jun 2025 yang bermula seawal jam 7 pagi.
Program ini melibatkan penyertaan aktif daripada pelajar Sarjana Muda Sains Pentadbiran (AM228), staf BPJIMA serta ahli Persatuan Alumni UiTM Sabah. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Taman Herba dan Sayuran, sesi penyampaian barang keperluan makanan serta buaian kepada Rumah Amal Kasih Kingfisher, dan sesi perkongsian ilmu STEM kepada anak-anak di rumah amal tersebut.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan UiTM Sabah atas kelulusan program dan sokongan dana yang telah diberikan.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua pensyarah, staf, dan pelajar UiTM Sabah yang telah menyumbang barang keperluan dan buaian untuk dimanfaatkan oleh pihak Rumah Amal Kasih. Kelihatan jelas kegembiraan di wajah anak-anak asnaf, istimewa dan yatim atas pemberian dan perhatian yang diberikan oleh warga UiTM Sabah.
Semoga pengasas Rumah Amal Kasih, Encik Jamri Saparih, terus dikurniakan rezeki yang melimpah ruah atas segala usaha amal beliau dalam memastikan anak-anak di rumah ini mendapat pendidikan yang sewajarnya. Sesungguhnya, ada dalam kalangan mereka yang telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, termasuk beberapa orang yang kini merupakan pelajar UiTM.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai manifestasi tanggungjawab sosial universiti kepada komuniti.




