ISLAMIC FINANCE FORUM: RETHINKING BNPL FOR COMMUNITIES

JOINT COLLABORATION WITH STUDENT FIN546 UITM SABAH

Editor: Ahmad Fauze bin Abdul Hamit (Pensyarah FPP, UiTM Sabah)

UITM SABAH PACU MODEL “QUADRUPLE HELIX”:TELITI ISU BNPL & KEWANGAN DIGIITAL PATUH SHARIAH

KOTA KINABALU, 15 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah menerusi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) memperkukuh peranannya dalam pemerkasaan literasi kewangan komuniti dengan penganjuran Borneo Regional Dialogue on Responsible Islamic Finance and Community-Centric BNPL. Program berimpak tinggi yang diadakan di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana ini merupakan inisiatif Service Learning Malaysia (SULAM) bagi kursus Islamic Finance (FIN546) dengan kerjasama strategik Persatuan Alumni UiTM Sabah (PAUS).

Penganjuran ini mencerminkan kejayaan aplikasi model Quadruple Helix, menggabungkan kolaborasi empat teras utama ekosistem iaitu universiti sebagai pemacu ilmu; badan autoriti Shariah; komuniti akademia serantau; serta pemain industri dan korporat. Objektif utama dialog ini adalah untuk menangani fenomena “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (Buy Now Pay Later – BNPL) yang semakin popular dalam kalangan generasi muda. Walaupun dilihat memudahkan, transaksi ini berisiko menjadi perangkap hutang, mengelirukan pengguna mengenai kos sebenar, dan mendorong keputusan perbelanjaan impulsif jika tidak dipandu oleh prinsip Shariah dan etika kewangan yang betul.

Program ini telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @Aziz Bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah yang diwakili oleh Ketua Penolong Mufti Kanan Bahagian Fatwa, Dr. Mohd Ariffin bin Ali. Pengisian program dibahagikan kepada tiga segmen strategik. Segmen pertama, Roundtable Dialogue, menampilkan Ustaz Pg. Mohd. Hanif bin Ag. Omar, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Fatwa, Pejabat Mufti Negeri Sabah dan Profesor Dr Hanudin Amin, UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang membincangkan tema pembangunan model BNPL patuh Shariah. Sesi ini menegaskan bahawa inovasi transaksi moden dibenarkan dalam muamalat selagi ia bebas daripada unsur riba, gharar, dan kezaliman, namun pengguna wajib memahami implikasi bayaran dan jadual ansuran.

Segmen kedua, Global Talk, memberikan perspektif antarabangsa melalui perkongsian Prof. Dr. Md. Mahmudul Alam dari BRAC Business School, BRAC University, Bangladesh. Menerusi tajuk “Is Convenience Making Us Poorer? Rethinking Digital Credit through an Islamic Lens”, beliau mengingatkan bahawa kredit digital yang terlalu mudah (frictionless) boleh mencipta ilusi kemampuan, justeru menuntut amalan kesederhanaan (wasatiyyah) agar teknologi tidak membawa tekanan hidup.

Lebih membanggakan, segmen ketiga Student’s Mini Conference telah mengetengahkan hasil kajian empirikal pelajar UiTM yang relevan dengan realiti semasa. Dua kajian telah dibentangkan iaitu kajian mengenai ketelusan “fine print” dalam perjanjian BNPL oleh Mohd Danial Hakimi Hassan, dan kajian kesan BNPL terhadap pembelian impulsif dalam kalangan pelajar di Borneo oleh AK Kiming Gunsangal. Kedua-dua kajian ini telah diterbitkan sebagai ScienceOpen Preprints yang berindeks Google Scholar, malah salah satu daripadanya menerima pengiktirafan berprestij sebagai “Preprint of the Week” oleh ScienceOpen.

Kejayaan program ini disokong padu oleh rakan industri dan agensi termasuk Bank Rakyat, Campus Bean, CleanDeck, dan Shar Associates yang menyediakan sokongan sumber serta pendedahan dunia sebenar. Program turut disertai 172 peserta termasuk daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), City University Malaysia, dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK).

Secara keseluruhan, inisiatif ini menyumbang secara langsung kepada Penunjuk Prestasi (PI) UiTM Sabah, khususnya dalam pemerkasaan tanggungjawab sosial universiti (USR), pengukuhan jaringan kolaborasi industri-komuniti, peningkatan pengantarabangsaan, serta penghasilan output ilmiah yang berimpak tinggi.

UiTM Sabah komited untuk terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga celik kewangan, kritis, dan beretika dalam mengemudi cabaran ekonomi digital masa hadapan.

Globally Renowned, Locally Rooted

اوسها تقوى موليا

#SULAM #UiTMCawanganSabah #UiTMdihatiku