Projek ALUMNi Solar Komuniti 2.0 di Jalan Kg Lokub – UiTM Sabah

Seiring dengan penutupan jalan utama masuk ke UiTM mulai tahun ini sehingga Jun 2026 bagi kerja-kerja pembaikan jambatan oleh JKR, alumni UiTM bersama BPIJMA UiTM dan penduduk Kampung Lokub melaksanakan Projek Solar Komuniti 2.0 untuk membantu meringankan kesulitan pengguna jalan yang terjejas akibat kegelapan di kawasan tersebut.

Para alumni terpanggil untuk sama-sama mengambil inisiatif ini atas keprihatinan mereka terhadap keselamatan dan kesejahteraan khususnya pelajar luar kampus UiTM serta pengguna lain yang melalui jalan tersebut setiap hari.

Sumbangan solar diterima daripada Alumni UiTM Sabah yang berasal dari Labuan, Lahad Datu, dan Sipitang, di samping sokongan logistik oleh belia Kampung Lokub yang diketuai En Hairarie, pemilik LB Performance, yang turut menyediakan lori untuk penghantaran dan pemasangan lampu.

Sebanyak 31 lampu solar telah dipasang dari pintu masuk Kampung Lokub hingga ke UiTM bagi memastikan laluan tersebut lebih cerah dan selamat terutama bagi ibu bapa pelajar SMK Sukan dan UiTM Sabah serta komuniti sekitar.

Ketua Kampung Lokub turut menyatakan rasa syukur kerana projek ini bukan sahaja mencerahkan jalan utama, malah turut menerangi depo nelayan yang menjadi sebahagian nadi kehidupan penduduk Kampung Lokub.

Pengerusi Masjid Al A’laa projek berkata, “Projek Solar Komuniti 2.0 ini adalah usaha berterusan membantu komuniti yang terjejas akibat penutupan jalan. Kami amat menghargai sokongan semua pihak dan mengalu-alukan lagi penyertaan alumni bagi penyediaan tiang lampu tambahan. InsyaAllah, Projek 3.0 akan siap hujung tahun ini dengan skop yang lebih besar.”

Projek ini diharap dapat meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan sehingga jambatan baru siap pada Jun 2026.

Acara penyerahan lampu solar tersebut di Masjid Al A’aa Kampung Lokub dan turut hadir pemimpin komuniti adalah seperti berikut;

Hj Sanin Lias – Pengerusi Masjid Al A’laa

En Malikin Resun – Ketua Kampung Lokub

Prof Madya Ts. Dr. Viduriati Sumin – Timbalan Rektor, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni, UiTM Sabah

Dr Dgku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Sabah

Dr Siti Sarayati Abd Mawah – Koordinator ICAN, UiTM Sabah

Dr Yvonne – Ketua Penyelaras Jaringan Komuniti, UiTM Sabah

Hj Sazali Md Salleh, Timbalan Yang Dipertua ALUMNi UiTM Sabah