UiTM Cawangan Sabah pada 11 Oktober 2025 telah mengadakan forum “Talk To Us (TTU)” bersama Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang juga merupakan alumni UiTM. Forum ini menghimpunkan mahasiswa baharu sesi akademik 2025/2026 dalam sesi interaktif yang sarat dengan perkongsian inspirasi.
Yang menarik, dua alumni tahun 1991 — Azzmie bin Aziz dan Farid H. Askali bin Ibrahim — kembali semula ke kampus selepas lebih tiga dekad, sebagai panel jemputan khas untuk berkongsi pengalaman mereka sebagai bekas pelajar UiTM Sabah. Kehadiran mereka membawa nostalgia dan semangat luar biasa kepada warga kampus, terutama pelajar baharu.
Panel jemputan forum TTU:
• Panel 1: Azzmie bin Aziz — Founder Master Dealer, Public Gold Marketing Sdn. Bhd.
• Panel 2: Farid H. Askali bin Ibrahim — Pegawai Tadbir Diplomatik
• Panel 3: Mohamad Khuzaini bin Majid — Yang Di-Pertua MPP UiTM Cawangan Sabah
Forum ini dimoderatorkan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang turut berkongsi pandangan tentang hala tuju pendidikan tinggi dan pembangunan mahasiswa.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah beberapa alumni UiTM Sabah. Seorang daripadanya, En. Abdul Latif, meluahkan rasa bangga dengan kehadiran rakan-rakan alumni beliau:
“Pemilihan dorang sebagai panel kali ini memang tepat. Banyak perkongsian yang bagus untuk freshie.”
Forum ini bukan sekadar platform perkongsian, tetapi juga simbol kebanggaan alumni yang kembali menyumbang semula kepada alma mater.





